Tuesday, 28 February 2017 19:22

Sekolah Seri Mulia Sarjana berjaya mara ke Peringkat Akhir Peraduan Mari Bercerita Daerah Brunei dan Muara

Dalam usaha untuk meningkatkan dan mengukuhkan budaya suka membaca di kalangan pelajar serta memupuk sikap keberanian dan keyakinan berada di khalayak ramai, Sekolah Seri Mulia Sarjana telah mengambil inisiatif untuk turut serta dalam Pertandingan Mari Bercerita tahun ini, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Empat orang wakil sekolah telah berentap dalam peringkat saringan Pertandingan Mari Bercerita Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kampong Perpindahan Lambak Kanan, Jalan 99.

Pertandingan yang bertujuan untuk memupuk budaya membaca yang positif di kalangan kanak-kanak ini diwakili oleh empat orang peserta Sekolah Seri Mulia Sarjana iaitu Muhammad Adrian Mulia bin Muhammad Danial, Awangku Mohammed Isa Daniel Muqri bin Pengiran Khamarul Zaman, Awangku Muhammad Aqil Nufail bin Pengiran Hasnul Bahrin and Dayangku Damia Bazla binti Pengiran Muhd Faizal. Keempat-empat peserta sekolah yang bertanding telah melakukan yang terbaik dalam menceritakan cerita pilihan mereka kepada para penonton di samping menarik hati barisan hakim pertandingan.

Hasil keputusan Pertandingan Mari Bercerita ini telah diumumkan secara rasmi pada hari Isnin, 20 Februari 2017 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang mana tiga daripada empat peserta sekolah kini mara ke peringkat akhir bagi Daerah Brunei dan Muara. Wakil-wakil finalis sekolah iaitu Awangku Mohammed Isa Daniel Muqri, Awangku Muhammad Aqil Nufail dan Dayangku Damia Bazla kini dilatih secara khusus dan intensif oleh guru-guru pembimbing, Yazid Bustomi dan Muhamad Hurairah Haji Adi sebagai persediaan untuk pusingan akhir pertandingan yang akan berlangsung pada bulan Mac akan datang.

Disediakan oleh Muhamad Hurairah bin Haji Adi