Tuesday, 24 October 2017 10:17

Majlis Doa Kesyukuran, Sembahyang Hajat Dan Membaca Surah Yasin

Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas 50 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta dan ditabalkan menjadi Sultan Brunei yang ke-29, warga Sekolah Seri Mulia Sarjana yang terdiri daripada pemangku guru besar, penolong guru besar, para guru, para ibu bapa, kakitangan sekolah dan murid-murid telah turut sama mengadakan majlis Doa Kesyukuran, Sembahyang Hajat dan Membaca Yasin yang diadakan serentak di seluruh negara pada 16 Muharram 1439 Hijrah bersamaan dengan 7 Oktober 2017, bertempat di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampong Jangsak.

Bacaan Doa Kesyukuran, Sembahyang Hajat dan Membaca Yasin ini telah diketuai oleh Muhammad Azizan Bin Haji Jumat, guru ugama di Sekolah Seri Mulia Sarjana Jangsak peringkat rendah.

Majlis ini diungkayahkan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta memohon perlindungan, kesejahteraan dan keselamatan raja dan negara disamping memohon doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, sihat walafiat dan sentiasa mendapat pertunjuk dari Allah Subhanahu Wataala. Para warga Sekolah Seri Mulia Sarjana merafa’kan sembah kesyukuran atas limpah rahmat dan kurniaNya menjadikan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan laila adil lagi bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.